BUAT SAHABAT
Sekiranya Anda Melewati Blog Ini, Kirim Kirimkanlah Pesanan Semoga Kita Dapat Bersua Dan Menikmati Hari Tua Yang Ceria.
HAHAHAHA...... tua yang ceria........
Sunday, March 25, 2012
Khazanah Gua Cermin
Friday, March 23, 2012
Gua Cermin
Untuk masuk kedalam kawasan ini memakan masa hampir 1 jam perjalanan meredah belukar dan belantara jauh pedalaman dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motor lasak.
Baru baru ni kawe telah menjelajah seramai 7 orang untuk mencari Batu Akik. Dan benar setelah sampai di sana kumpulan kawe hampir sesat akibat jalan masuk ke Gua tersebut telah dilitupi hutan dan hanya papan tanda kecil yang menyelamatkan kumpulan kawe dari tersasar lebih jauh ke dalam belantara.
Kumpulan kawe berada di sini sehingga petang dan sebelum asar kami bertolak balik.
Pencarian kami berhasil walaupun begitu sukar mencari kerana terlalu banyak halangan dan dugaan yang perlu kami tempuh.
Hasil yang kami dapat akan saya "update"kan kemudian...
Thursday, March 22, 2012
Uncle Cina - Part 1
Kawe : Uncle mau cari kereta apa....
Uncle : Saja mau tengok tengok...
Kawe : Takper uncle... tengok fleeeee(free) maaaa....
Uncle : senyum........
Kawe pun biarkanlah uncle tu melayan perasaan sambil dia melihat kenderaan satu persatu hingga habis kesemua kenderaan dia tengok....dan pada waktu yang sama sekonyong konyongnya menjelma pula 2 remaja india sekadar bertanya dan akhirnya berlalu pergi meninggalkan aku dan uncle cina tadi....
Jam hampir pukul 6 petang dan uncle cina tadi masih lagi meninjau ninjau sebuah kenderaan yang mungkin menarik minatnya. Secara perlahan akupun melangkah menghampirinya dan bertanya..
Kawe : macamana uncle... ada sudah sangkut?
Uncle : masih lagi tersenyum dan menjawab... esok nanti saya beritahu...
Uncle cina masih lagi berdiri ditepi kenderaan tersebut dan jam sudah melebihi pukul 6 petang.
Aku secara hormat mengemas apa apa yang patut untuk tidak menghampakan hati uncle cina tadi. Dalam pada aku berkemas uncle cina sempat menegur dan bertanya mengenai kenderaan yang berada ditepinya. Aku menjawab secara spontan dan membiarkan uncle cina melayan persaannya.
Mungkin kerana perasan yang aku sedang bersiap untuk pulang, uncle tadi menghampiri aku dan berkata " esok saya bawa saya punya kawan " dan uncle cina tadi pun berlalu keluar meninggalkan aku keseorangan...
Pada agakan aku umur uncle cina tadi sudah melebihi 70 tahun namun masih lagi sihat dan bertenaga.
Kebiasaannya pelanggan yang masuk dan keluar tanpa ada keputusan memang tidak akan datang kalau tidak berjumpa dengan yang berkenan dihati... dan begitu jua aku sangkakan pada uncle cina tadi.
Esoknya....
jeng jeng jeng...
esok la saya cerita pulak....
Tuesday, March 20, 2012
Tercari Cari Kenderaan Terpakai???
Monday, March 19, 2012
Mitos Kota Gelanggi
Banyak kisah kita dengar dari orang orang tua dan penglipur lara berkenaan Gua Kota Gelanggi. Dan banyak juga keganjilan dan misteri yang terserlah dalam penceritaan berkenaan Gua ini. Mitos memainkan peranan penting dalam penceritaan berkenaan Gua Kota Gelanggi.
Merujuk kepada “glosari istilah kesusasteraan”
“Mitos adalah cerita-cerita yang tidak diketahui pengarangnya, yang dipusakai turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sejak zaman primitif lagi, yang mengemukakan peristiwa-peristiwa luar biasa yang berlaku. Pentafsiran ini dilakukan dengan tujuan untuk mengukuhkan tanggapan khas atas pandangan dunia golongan masyarakat itu sendiri.”
Sumber berpandukan “Interpretasi Kota Gelanggi Sebagai Mitos”oleh Saudara Dzulkarnain Mat
Mitos 1.
Kota Gelanggi versi Encik Mohamad Bin Angkut (informan)
Pada zaman dahulu terdapat sebuah kerajaan negara kota di Kota Gelanggi. Jajahan kerajaan ini meliputi Pulau Tawar, Padang Embun, Pasir Nilam dan Sungai Batu. Negara kota ini dikelilingi laut dan Pulau Tawar merupakan antara pulau-pulau jajahannya. Kota Gelanggi diperintah oleh Datuk Indera Raja Laut.
Datuk Indera Raja Laut bersaudara dengan Raja Rembau. Baginda berjanji dengan saudaranya akan berbesan. Suatu ketika Datuk Indera Raja Laut memperolehi dua orang puteri. (Informan menyebutnya ‘permaisuri’. Adiknya bernama Puteri Dayang Cempaka; tetapi kakaknya yang lebih cantik tidak dapat diingat namanya oleh informan). Sebagaimana janji, seorang daripada puterinya yang cantik itu ditunangkan dengan Rusul, anak Raja Rembau. Kewujudan puteri ini diketahui oleh Raja Muda di negeri kayangan. Anak raja dari kayangan ini terbang berdekatan dengan istana kota Gelanggi, lalu terpandang kepada puteri Datuk Indera Raja Laut. Dia jatuh cinta kerana kecantikannya, lalu terbang pulang memberitahu Tok Mambang, ayahandanya raja di kayangan.
Sebelum itu Rusul, putera Raja Rembau mengutus ke Kota Gelanggi dua buah lancang yang sarat dengan pelbagai barang sebagai hantaran belanja perkahwinannya dengan puteri Datuk Indera Raja Laut. Malangnya, dalam pelayaran dari Rembau ke Kota Gelanggi kedua-dua lancangnya telah bertemu dengan Sang Kelembai. Sang Kelembai pada masa itu sedang marah kerana anaknya mati keracunan sejenis buah yang dipanggil buah perah. Makhluk ini menegur lancang-lancang berkenaan dan kedua-duanya dengan segala muatan dan anak kapal bertukar menjadi batu. Hal ini sampai kepada pengetahuan Rusul di Rembau. Rusul begitu sedih dengan kejadian itu. Lebih menyayat hati bila seekor burung nuri peliharaannya melaporkan bahawa tunangnya di Kota Gelanggi akan bernikah dengan Raja Muda Mambang. Rusul bertambah sedih dan marah, lalu meminta izin ayahandanya untuk ke Kota Gelanggi.
Apabila Rusul sampai di Kota Gelanggi, majlis persandingan sedang diadakan. Sebaik sahaja Rusul dan angkatannya muncul, berlakulah peperangan antaranya dengan angkatan mambang. Masing-masing sama hebat kesaktiannya. Setelah tiga hari tiga malam pertempuran berlaku tidak ada pihak yang kalah. Kemusnahan harta benda dan nyawa begitu teruk di kedua belah pihak. Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung dengannya seorang sama seorang. Rusul menyahut cabaran itu dan menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya, tetapi tidak berjaya mengenai Rusul . Bila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang. Raja Muda Mambang terkorban, dan darahnya sentiasa mengalir sehingga ke hari ini. Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di Kota Gelanggi lalu menegur suasana peperangan itu. Teguran ini menyebabkan semua benda dan makhluk di situ menjadi batu. Hasil daripada teguran Sang Kelembai itulah maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan perang, peralatan kenduri, peralatan dan perhiasan perkahwinan dan sebagainya di gugusan Kota Gelanggi.
Mitos 2.
Kota Gelanggi versi Tuan Haji Mat Taib bin Saman (informan)
Menurut informan, pada suatu masa dahulu, Mukim Pulau Tawar ini adalah sebuah pulau yang besar. Rajanya, Raja Gelanggi bersemayam di Kota Gelanggi. Raja Gelanggi ini mempunyai seorang puteri yang cantik dan ditunangkan dengan seorang anak raja di Rembau, bernama Raja Usul.
Puteri Raja Gelanggi ini terkenal dengan kecantikan dan kebaikan budi pekertinya. Sekiranya rakyat jelata yang mahu meminjam pinggan mangkuk, periuk belanga, kawah dan sebagainya untuk kenduri dibenarkan meminjam di istana Kota Gelanggi. Kecantikan dan kebaikan puteri itu turut diketahui oleh Raja Mambang di kayangan. Raja Mambang ingin memperisterikan puteri Raja Gelanggi, lalu meminangnya. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu, dan mengahwinkan puterinya dengan Raja Mambang. Apabila tiba hari perkahwinan, Raja Usul sampai di Kota Gelanggi. Tujuannya untuk menghantar hadiah kepada tunangnya. Lancangnya ditinggalkan di suatu tempat yang sekarang ini digelar Lanchang, dekat Kampung Masjid, Pulau Tawar. Dia naik ke darat dengan perahu lalu ke kota. Alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan. Peperangan berlaku antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang. Oleh kerana sama gagah dan sama sakti, tiada yang kalah atau menang. Pada ketika inilah Sang Kelembai muncul dan menegur tentang perangai dua jenis makhluk ini berperang kerana seorang perempuan. Akhirnya semua yang ada di situ menjadi batu, lancangnya menjadi tanah, laut menjadi padang, sungai menjadi lembah dan segalanya musnah begitu sahaja.
Mitos 3
Kota Gelanggi versi Cameron.
Pada zaman dahulu ada seorang raja bernama Raja Gelanggi yang mempunyai seorang anak perempuan cantik dan menjadi idaman putera Raja Mambang di Lipis. Putera itu meminta ayahandanya berbincang dengan Raja Gelanggi supaya puteri itu dapat disuntingnya. Raja Gelanggi tidak menolak tetapi puterinya tidak berkenan dengan putera Raja Mambang. Pada suatu ketika, seorang putera raja anakanda kepada Raja Usul dari Bera telah keluar berburu bersama orang-orangnya berdekatan dengan Gelanggi. Putera itu telah terpandang kepada puteri Raja Gelanggi lalu jatuh hati. Putera itu merayau-rayau di hutan Gelanggi berhari-hari lamanya dengan harapan akan bertemu semula dengan puteri itu. Nasibnya baik, kerana puteri itu muncul lagi. Putera Raja Usul dan orang-orangnya menculik puteri itu dan membawanya pulang ke Bera. Puteri Gelanggi tidak membantah kerana bencikan tunangnya, lalu bersetuju mengahwini putera Raja Usul. Raja Gelanggi diberitahu melalui utusan Raja Usul untuk mendapatkan restu tetapi baginda tidak merestuinya. Bagaimana pun putera dan puteri ini hidup bahagia kerana mereka sudah saling mencintai.
Hal penculikan itu diketahui oleh Raja Mambang, dan memaksa Raja Gelanggi mendapatkan semula puterinya. Raja Gelanggi tidak suka dituduh bacul, lalu pergi ke Bera dengan angkatannya untuk membawa balik puteri baginda. Raja Usul enggan menyerahkan puteri Raja Gelanggi, hanya kerana takutkan Raja Mambang; lagipun puteri Raja Gelanggi telah berkahwin dengan puteranya. Pertarungan antara panglima-panglima kedua belah pihak diatur. Setelah tujuh orang panglima terhandal Raja Gelanggi tewas, baginda mula tawar hati apatah lagi diketahuinya puterinya hidup bahagia. Raja Gelanggi mengutuskan surat kepada Raja Mambang menyatakan bahawa masalah ini adalah masalah Raja Mambang; dan jika ingin berperang, pergilah ke Bera. Raja Mambang turun ke Bera dan berperang dengan Raja Usul; malangnya baginda sendiri yang terbunuh. Raja Gelanggi berbaik semula dengan Raja Usul, mereka hidup aman bahagia.
Begitulah kisahnya mitos berkenaan Gua Kota Gelanggi.
Nantikan kisah berikutnya...
Sunday, March 18, 2012
Gua Kota Gelanggi
Terletak kira-kira 25 km dari bandar Jerantut, gua lagenda ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Gua-gua di sini dikenali dengan nama kota iaitu Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Jin dan Kota Balai. Gua Kota Gelanggi sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Terdapat pelbagai bentuk batu yang menyerupai manusia bersanding, ular, singa dan sebagainya. Kejadian ini dikaitkan dengan sumpahan Sang Kelembai iaitu makhluk yang mempunyai kuasa sakti yang menyumpah sesuatu menjadi batu. Mengikut kajian Muzium Negara pada tahun 1981, terdapat bukti bahawa barang-barang yang dijumpai di dalamnya adalah tinggalan manusia zaman purba.
Terdapat juga pengkaji sejarah mengatakan gua ini pada masa dahulu adalah sebuah negeri yang besar. Gua ini dipercayai tempat persembunyian Maharaja Dewa Sura ketika diburu oleh angkatan Melaka pada abad ke-15. Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan Tok Gajah juga dikatakan berlindung dan bertapa di dalam gua ini. Asal usul nama Gelanggi ini berasal daripada perkataan Siam iaitu Klang Kio atau Gelang Gio. Pada masa itu, tempat ini dipercayai diminati oleh orang-orang Siam. Kisah Lagenda menceritakan kawasan ini telah diperintah oleh Raja Gelanggi yang mempunyai seorang puteri yang cantik. Anak Raja Mambang dari Lipis telah melamar puteri tersebut. Walau bagaimanapun, anak Raja Usul dari Bera telah bertemu dengan puteri tersebut semasa berburu, lalu jatuh cinta dan bersetuju untuk berkahwin. Perkara ini telah diketahui oleh anak Raja Mambang lalu menyerang anak Raja Usul. Anak Raja Mambang mati dibunuh oleh anak Raja Usul lalu anak Raja Usul berkahwin dengan Puteri Gelangi.
Sumber : Majlis Daerah Jerantut
Perjalanan ke Gua Kota Gelanggi sekadar menziarah dan meninjau serta mencari khazanah yang tertinggal....