
Pupukan angin senja datang lagi menyapa kesepian di kamarku. Kedatangan yang tidak diundang lalu mengajak aku mengingati kenangan semalam yang termetri indahnya. Masih terasa lagi hembusan bayu laut ke mukaku ketika aku bersama-sama abang di tepi pantai. Abang... orang kedua dalam hidupku. Kehadirannya disisiku bagaikan pelita yang menerangi malam.
"Adik, besar nanti nak jadi apa?" tanya abang ketika kami sama-sama dipantai yang permai itu. Aku hanya mendiamkan diri. Aku menoleh ke arah abang. Aku melihat abang merenung jauh ke tengah laut. Aku membiarkan abang melayani perasaannya. "Emmm. Ida nak jadi polis, nanti boleh tangkap abang". jawabku sambil mencuit lengan abang. "Aduh" jerit abang. Aku menolak abang ke pasir. Abang jatuh tetapi dia bingkas bangun lalu mengejar aku. Aku berlari-lari anak meninggalkan abang. Kami ketawa keriangan dengan disaksikan oleh camar dan perahu-perahu nelayan. Kegembiraan dan kemesraan tidak berakhir di pantai itu saja tetapi berpanjangan kerana kami berdua yang menjadi permata ibu. Mengapa tidaknya, kamilah jua yang dilahirkan untuk menyambung keturunan ayah.
Walau hidup dalam kemiskinan tetapi ayah masih mampu membahagiakan kami. Hasil titik peluh ayah sebagai nelayan telah membolehkan kami mengenal a,b,c. Kebahagiaan lebih terbayang lagi apabila abang lulus cemerlang dalam peperiksaan SPMnya. Bahkan sinar kebahagiaan kami makin menyerlah bila abang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Oh! gembiranya hati ibu dan ayah ketika itu, tetapi tidak pula aku. Tiga hari sebelum itu, aku melihat perubahan pada diri abang ketika itu. Aku tertanya-tanya. Ibu mengadakan sedikit kenduri kesyukuran. Aku .... aku tidak senang dengan perubahan abang yang hanya senyum sumbang ketika ayah kegembiraan menceritakan impiannya yang telah menjadi kenyataan.
Abang tidak seriang dahulu, bahkan sebulan sebelum pemergiannya ke Kuala Lumpur dia sering pulang lewat. Aku bertanyakan ayah, tetapi ayah menyatakan abang pergi jumpa kawan-kawannya. Aku tidak gembira dengan jawapan itu. malah menafikannya. "Abang, kenapa abang berlainan sekali. Muka abang pucat dan sering pulang lewat". soalku pada suatu hari. Abang membisu seribu kata. Kelakuan abang amat melukakan hatiku. Keadaannya berlarutan sehinggalah hari yang dinantikannya. Kami mengiringi pemergian abang dengan tangisan berbaur harapan.
Hari demi hari berlalu, surat abanglah yang sentiasa kunantikan. Aku bangga dengan abang. Walaupun dibebani dengan kerja-kerja kuliah tetapi masih ada masa untuk mencoretkan warkah buat kami. Sedikit demi sedikit keraguan dan kesangsian aku terkikis terhadap abang. Malah aku menjadikan kejayaan abang sebagai pedoman ketika menghadapi pelajaran. Bila kesunyian mencengkam, aku kembali ke pantai yang menjadi saksi kasih aku kepada abang. Ibu dan ayah juga seperti aku. Setiap kali menunaikan solat, mereka tidak lupa mendoakan kejayaan untuk abang. Kerinduan kami terubat juga apabila abang pulang menjengah kami sekali-sekala pada hujung minggu.
Tapi kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengahari. Kegembiraan kami berakhir dengan sepucuk telegram. Gementar sekali tanganku ketika membacanya. "Abang....! mak, abang kemalangan," aku memberitahu ibu. Aku mententeramkan ibu yang menangis dengan kata-kata manis sedangkan aku sendiri sebak. Ayah bagai tidak percaya dengan berita itu. Mujurlah kesabaran masih menebal di dada kami. Dalam perjalanan menziarahi abang, kami membisu seribu kata. Segala kemesraan abang terus menerus bermain di kotak fikiranku. Abang ditempatkan di wad kecemasan. "Mengapa abang jadi begini?" ratap hatiku sebaik sahaja melihat abang. Hatiku pilu bagai dihiris sembilu.
Abang begitu lemah sekali. Namun dia masih mampu melemparkan sekuntum senyuman. Dengan tersekat-sekat abang meminta maaf dari ibu dan ayah, serta meminta aku mendekatinya. Aku menerpa den membaringkana kepala di dada abang dengan kepiluan yang teramat sangat. Aku terkejut. :Ida, abangmu sudah pergi" bisik ayah sambil mengesat airmatanya. "Abang....." aku meraung sekuat hati sambil memeluk tubuh abang yang tidak betnyawa lagi. "Abang... jangan tinggalkan Ida, bawalah Ida bersama," aku meratapi kematian abang. Berakhirlah sudah sinar kebahagiaan hidup kami. Jenazah abang selamat dikebumikan.
Kini tinggallah aku diuliti kenangan bersama abang. Dari ayah aku mendapat tahu punca kematian abang disebabkan oleh dadah. Benda jahanam itulah yang paling abang benci, tetapi bagaiman abang terlibat? DADAH!! keranamu aku kehilangan orang yang ku sayang. Sampai hati kau merampas abangku. Pantai semakin jauh, senyuman abang semakin tawar dan abang telah pergi, pergi yang tidak kembali lagi.
Dan aku berjanji akan menyambung impian ayah.
Setitik air hujan tempias ke muka ku lantas menyedarkan. Aku merasa pipiku basah. Buku-buku dan nota kemas tersusun di katilku. Aku bersendirian. Diluar hujan turun dengan lebatnya.
Karya : F. Hanam - 5A1
diterbitkan dalam Majalah Kelas LAS - 1990
p/s : kawe nak cepat nih. nak gi jumaat lak. Lain kali lah kawe cerita pasal pengarang nih. Tak dan dah nih.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.